Hormat, akur teguran Sultan

Oleh Wan Jailani Razak, Nurul Adlina Kamaludin, Shamsul Kamal Amarudin, Rohaniza Idris, Abu Bakar Al Sidek dan Azida Shaharuddin
bhnews@bharian.com.my


Undang-undang, institusi beraja perlu dipertahan


KUALA LUMPUR: Pemimpin, pakar sejarah dan badan bukan kerajaan (NGO) berharap kemurkaan dan teguran Sultan Sharafuddin Idris Shah kelmarin diberi perhatian serius dan tindakan keras diambil terhadap pihak yang melakukan penderhakaan terang-terangan terhadap Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

Mereka meminta semua pihak akur dan menghormati kedaulatan undang-undang serta institusi Raja Berperlembagaan yang menjadi antara asas pembentukan Malaysia.
Menteri Besar Perak, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir, berkata rakyat Perak menjunjung kasih dan menyokong titah Sultan Selangor itu.

"Kerajaan negeri yang mewakili rakyat berasa terharu dan dengan rasa rendah diri menyanjung titah Sultan Selangor itu. Rakyat Perak akan terus berdiri teguh dan merakamkan rasa hormat dan sayang tidak terhingga kepada baginda Sultan Azlan Shah dan menerima keputusan dibuat baginda dalam urusan hal ehwal negeri ini," katanya pada sidang media di Hotel Seri Malaysia di Ipoh, semalam.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim juga bersetuju dengan peringatan baginda kepada rakyatnya sebagai sebuah negara yang mengamalkan Perlembagaan beraja.
"Oleh itu, adalah menjadi tatatertib dari segi bagaimana cara untuk berinteraksi dengan pihak istana. Jadi, apa yang Tuanku nyatakan ialah pandangan baginda untuk menentukan bahawa negara ini mengamalkan sistem Perlembagaan beraja," katanya.

Akhbar semalam menyiarkan kenyataan Sultan Sharafuddin yang dukacita dan kecewa selain mengingatkan rakyat supaya tidak mudah terpedaya dengan pihak yang sanggup mengambil risiko dengan perbuatan bersifat keji seperti biadab, derhaka, angkuh, jahil ilmu serta kemaruk kuasa.

Kenyataan khas tiga halaman dikeluarkan menerusi Setiausaha Sulit baginda, Datuk Mohamad Munir Bani itu dibuat sebagai penegasan Sultan Sharafuddin terhadap pergolakan politik yang berlaku di Perak, mutakhir ini.

Pakar sejarah, Datuk Dr Ramlah Adam, berkata titah Sultan Selangor itu adalah hakikat yang tidak boleh dinafikan sesiapa pun, tidak kiralah masyarakat Melayu serta kaum lain.
"Demonstrasi jalanan bukan budaya kita. Apalagi ia membabitkan tentangan mengenai soal yang sudah termaktub dalam Perlembagaan. Mereka yang menyertai demonstrasi itu bukan saja biadab, tetapi terbukti tidak memahami tamadun serta tradisi asas pembentukan negara ini.

"Ini bukan zaman Hang Tuah atau Hang Jebat lagi. Emosi tidak boleh digabungkan dengan politik hingga menghasilkan penderhakaan terang-terangan seperti berlaku di Perak," katanya ketika dihubungi, semalam.

Presiden Barisan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM), Osman Abu Bakar mengalu-alukan titah Sultan Selangor yang disifatkannya sebahagian suara rasmi Raja Melayu yang bimbangkan tindak tanduk segelintir rakyat yang tersasar hingga sanggup menghina bangsa serta institusi diraja.

"Baginda berkongsi kebimbangan BBPM yang mewakili 270 NGO yang tidak mahukan pepatah 'menang sorak, kampung tergadai' menjadi satu realiti. Kita tidak mahu tindak tanduk mereka yang kemaruk kuasa dan jahil ilmu itu boleh mengundang padah lebih besar dengan mengancam perpaduan dan keharmonian kaum yang dinikmati selama ini," katanya.

Osman berkata, menyedari keadaan itu, BBPM akan mengadakan kunjungan ke atas Raja-Raja Melayu bagi menyampaikan memorandum ikrar taat setia serta mempertahankan hak dan kedaulatan institusi diraja.

Beliau juga mengulangi gesaan supaya kerajaan mengenakan tindakan tegas ke atas Pengerusi DAP, Karpal Singh, termasuk dilucutkan kerakyatannya kerana mempertikaikan Perlembagaan serta menghina Sultan.

Pengerusi Yayasan Pembangunan Belia India, S Vigneswaran berkata apa yang disuarakan Sultan Selangor itu adalah cetusan kebimbangan majoriti rakyat negara ini.

"Tindak tanduk pembangkang itu adalah taktik kotor terbaru mereka yang gila kuasa dan sanggup mempertaruhkan keharmonian yang dikecapi selama ini. Pakatan Rakyat juga sehingga kini masih belum memohon maaf di atas rusuhan ganas di Kuala Kangsar.

"Saya hairan bagaimana orang yang mengakui diri mereka sebagai rakyat Malaysia dan hafal Rukun Negara dan Negaraku boleh membuat kenyataan menghina institusi diraja," katanya.

Presiden Hindu Sangam Malaysia, Datuk A Vaithilingam berkata, rakyat perlu menghormati institusi diraja yang sudah pun termaktub dalam Perlembagaan.

"Apa yang disuarakan Sultan Selangor itu betul dan saya memahaminya. Rakyat perlu menjaga kehormatan undang-undang, termasuk soal Raja Berperlembagaan. Jika ada pihak yang berasakan mereka mahu membawa apa juga perkara ke tengah, itu hak peribadi mereka. Tetapi pada masa sama, mereka perlu sedar batasan yang ada termasuk isu membabitkan kepentingan institusi raja." katanya.

Comments

Popular posts from this blog

Buy Bing Ads Coupon - $100 coupon worldwide working

Buy Adwords Coupon Code For India - Spend 500 INR Get 2000 INR

Impian Country Resort, Hulu Langat