"bila nak ........ ?"

Setiap kali berkunjung ke rumah saudara mara terutama di majlis perkahwinan atau kunjungan hari raya (hemm tak lama lagi) atau ketika berjumpa teman-teman yang sudah lama tidak bertemu, satu soalan atau pertanyaan yang paling mengusik jiwa raga saya iaitu “Bila nak kahwin?”.

Saya baru berumur 32 tahun dan 7 bulan lagi ianya akan berubah ke angka 33. Masa berlalu terlalu pantas. Adakah sebab pertambahan nombor itu merunsingkan orang disekeliling saya dan sering mengejar saya dengan pertanyaan “Bila nak kahwin?”. Apakah usia yang paling wajar atau sesuai untuk berumahtangga? Tetapi pada saya, masalahnya sekarang bukannya usia yang sesuai untuk berumahtangga, tetapi mengenai perkahwinan atau pernikahan itu sendiri.

Jodoh dan pertemuan, ajal dan maut adalah ditentukan oleh Allah Maha Esa. Pada saya menikah atau kahwin itu tidak wajib. Maksud saya, bukan seperti Sembahyang dan Puasa, yang mana wajib untuk kita laksanakan. Perkahwinan itu adalah sesuatu yang sangat suci, satu ikatan yang menghalalkan dua insan yang bernama lelaki dan perempuan. Kalau memang Allah memberikan saya jodoh dan menentukan garis hidup saya bahawa saya akan menikah, maka saya tentu akan bersyukur dan melaksanakan perintahNya. Menikah itu ditentukan oleh Allah bukan saya.

Tetapi sikap manusia terutamanya orang kita, meletakkan orang yang tidak berumahtangga itu sebagai satu kekurangan. Kenapa tak kahwin, sebab tak laku, takde orang nak, tak cantik. Tak cantik ke saya? Ini bermaksud kalau tak kahwin, tak sempurna hidup. Tetapi saya tidak nafikan yang perkahwinan itu memberi kesempurnaan kepada sebuah kehidupan atau pun perlengkap. Walau bagaimanapun tidak semua perkahwinan itu sempurna. Tidak semua perkahwinan itu bahagia. Tidak semua perkahwinan itu berkekalan.

Saya tau keluarga saya resah kerana sampai sekarang masih belum bertemu jodoh. Tetapi mereka tidak pernahlah mendesak saya cuma orang sekeliling yang lebih resah sibuk bertanya membuatkan keluarga saya jadi tak senang hati. Keluarga saya bangga dengan pencapaian saya. Saya tak kata yang saya sempurna, tetapi Alhamdulillah hidup senang. Jadi kenapa harus merasa resah dan malu kalau saya tak kahwin?

Jodoh dan maut adalah di tangan Tuhan. Tapi sebenarnya itu adalah dua perkara yang berbeza. Kerana ada orang yang akan bertemu jodoh, ada yang tidak dan ada yang lewat. Manakala ajal dan maut, setiap manusia pasti akan melalui saat itu, samada cepat atau lambat sahaja. Semuanya bergantung kepada ketentuan Allah. Siapalah kita yang ingin menyoal Qadak dan Qadar? Kenapa nak persoalkan ketentuan Ilahi? Sebagai hamba yang menurut dan menerima, saya hanya mampu berdoa. Itulah usaha saya.

Di majlis perkahwinan pertanyaan begini sering keluar. “Bila nak kahwin?” Seperti satu benda yang wajib dan belum saya tunaikan. Atau satu benda yang saya tentukan. Tahu tak betapa sakit nya hati bila soalan-soalan begini ditimbulkan? Tak terfikir ke, orang tu akan rasa tersinggung ke tidak? Bukannya saya yang tentukan tetapi Dia. Bila fikir balik, kalau ada orang yang meninggal, boleh tak kita bertanya soalan pada orang yang masih hidup “Bila kamu nak meninggal?” jangan tersinggung sebab semua orang akan mengalaminya. Cuma waktu yang akan menentukan. Tetapi bernikah bukanlah kewajipan yang wajib dilalui semua manusia. Kadang-kadang jadi malas nak ke majlis-majlis macam ni.

Tidak menikah tidak mengapa. Bukannya sesuatu yang buruk atau memalukan. Lebih memalukan kalau ada orang merosakkan institusi perkahwinan itu sendiri. Tidak menghormati kesucian hubungan perkahwinan itu adalah lebih hina. Setiap manusia berbeza.




Ku berserah
Kepadamu Maha Esa
Mungkin takdir
Telah menentukan segalanya
Ku berserah
Kepada apa yang telah berlaku
pada diriku ini

Comments

Popular posts from this blog

Seven Wonders

Impian Country Resort, Hulu Langat

Muzium Negara & Sepang Goldcoast